Wednesday, February 11, 2015

TANGGUNGJAWAB SUAMI URUSKAN RUMAH?

SOALAN:
Saya membaca sebuah buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor karangan Datuk Syed Alawi Tahir al-Haddad, cetakan ketiga, tahun 1981, halaman 184-185. Buku ini menyatakan tidak wajib atas isteri menjalankan kerja-kerja seperti membersih rumah, mencuci pakaian, mengasuh anak-anak dan menyediakan makanan.
Jika isteri melakukan semua itu, ia berhak menuntut gantian dengan harga sebagai upah. Kewajipan isteri, menurutnya, hanya taat dan menyerah diri kepada suami bagi memuaskan kehendaknya serta tinggal dalam rumah dan tidak boleh keluar tanpa izin.
Soalan saya, benarkah pendapat ini? Setahu saya apa yang disebutkan itu bertentangan dengan amalan dalam masyarakat Melayu hari ini. Saya harap tuan jelaskan kewajipan sebenar suami, isteri sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. - SALMIAH, Seksyen 14, Petaling Jaya.


JAWAPAN:

Saya turut membaca buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor seperti yang disebutkan dalam soalan di atas. Buku ini merupakan himpunan fatwa Almarhum Datuk Syed Alawi al-Haddad (meninggal dunia 1962). Beliau adalah bekas Mufti Kerajaan Johor (1934-1961). Pada saya, fatwa mufti itu kurang jelas menyatakan tanggungjawab siapa menjalankan kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian, memasak, menyediakan makanan, mengasuh anak, menyidai kain dan sebagainya.

Saya membaca lagi beberapa buah buku yang ada dalam simpanan saya untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang perkara itu. Saya dapati, kebanyakan menyatakan kerja-kerja rumah seperti yang disebutkan di atas adalah tanggungjawab suami.

Saya tersentak seketika apabila membaca kerja-kerja seperti itu termasuk dalam senarai kewajipan suami terhadap isteri, di samping nafkah utama yang meliputi makan minum, kediaman, pakaian dan perubatan. Kewajipan isteri pula dinyatakan ialah melayani kehendak suami dan menyerahkan tubuh badan kepadanya serta menyahut panggilannya dengan segera bila diperlukan, sekalipun ketika dia sedang memasak di dapur.

Buku-buku itu antara lain menjelaskan lagi, isteri tidak harus berpuasa sunat, kecuali terlebih dahulu memaklum dan mendapat keizinan suami, kerana khuatir nanti suatu panggilan kecemasan akan berlaku, sedangkan dia tidak dapat menyahutnya kerana berpuasa. Dinyatakan lagi, jika isteri tidur bermalaman, sedangkan dia dengan sengaja tidak melayani kehendak suaminya, maka sepanjang malam itu dia dilaknat Allah dan malaikat.

Kesetiaan isteri terhadap kehendak suami semacam boleh ditafsirkan dengan ada bayarannya, iaitu kerja-kerja rumah seperti mengasuh anak, memasak, membasuh pakaian, menyidai kain dan sebagainya hendaklah dijalankan oleh suami. Kecuali jika isteri dengan rela hati sedia melakukannya.

Saya tidak mempertikaikan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh al-Quran dan hadis-hadis sahih berhubung kewajipan suami terhadap isteri, seperti nafkah makan minum, kediaman, pakaian dan perubatan yang wajib ke atas suami menyempurnakannya. Manakala kewajipan isteri terhadap suaminya pula hendaklah melayani sepenuhnya kehendak suami sebaik sahaja panggilan dibuat.

Persoalan yang berbangkit ialah mengenai kerja-kerja harian di dalam rumah seperti memasak, mengasuh anak, menyidai pakaian dan sebagainya, benarkah ia termasuk antara tugas suami? Isteri hanya boleh melakukannya secara sukarela atau suami sendiri menyempurnakannya sebagai tanggungjawab terhadap isteri. Begitulah apa yang saya faham daripada buku-buku yang saya baca.

Saya berpendapat hukum ini adalah hasil ijtihad ulama pada beberapa abad terdahulu. Ijtihad boleh berubah dari masa ke masa mengikut perubahan zaman, keadaan dan tempat. Ijtihad ulama juga tidak selalunya tepat dan betul, kadang-kadang boleh disanggah oleh ulama melalui ijtihadnya yang dihasilkan pada waktu dan masa yang lain pula. Dalam hadis menyebut: Sesiapa yang silap dalam ijtihadnya maka ia memperoleh satu pahala dan siapa yang betul, akan mendapat dua pahala.

Menurut mazhab Imam Malik, uruf dan kebiasaan dalam sesebuah masyarakat boleh dipakai bagi menurunkan sesuatu hukum. Atas dasar ini, isteri boleh memasak, menyidai pakaian, mengasuh anak dan sebagainya jika dia suka, tetapi bukan sebagai kewajipannya. Beberapa alasan berikut boleh dijadikan hujah:


وَلَهُنَّ مِثۡلُ ٱلَّذِى عَلَيۡہِنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِ‌ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيۡہِنَّ دَرَجَةٌ۬‌ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ


Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Surah Al-Baqarah (228)

Pertama: Allah berfirman kepada para isteri yang membawa maksud: Isteri menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik, suami juga dikehendaki melakukan kewajipan yang serupa (al-Baqarah: 228). Ini bermakna suami isteri sama-sama mempunyai tanggungjawab terhadap satu sama lain.

Saya beranggapan tidak adil jika urusan yang dilakukan di luar rumah seperti mencari nafkah makan minum, kediaman, pakaian, perubatan menjadi kewajipan suami sepenuhnya, kemudian kerja-kerja di dalam rumah juga menjadi kewajipan suami. Isteri seolah-olah tiada sebarang kerja, selain melayan suami dengan tubuh badannya sahaja. Cara yang lebih adil ialah kerja-kerja di luar rumah menjadi kewajipan suami, sementara dalam rumah pula hendaklah diambil tanggungjawab oleh isteri.

Kedua: Dalam pergaulan sesama manusia dan juga keluarga, setiap hak yang wajib ditunai hendaklah ada balasan yang diterima. Suami dipertanggungjawab memberi nafkah dengan jalan yang terbaik, seperti yang dinyatakan terdahulu. Apakah hak ini telah dibalas oleh isteri dengan cara yang terbaik juga seperti yang sepatutnya? Apakah kewajipan menyara hidup yang disempurnakan oleh suami terhadap isteri dan anak-anaknya itu dianggap sebagai percuma dan tidak perlu dibalas apa-apa? Islam dan juga budaya Melayu tidak menyatakan begitu.

Mungkin ada orang menjawab, tubuh badan isteri yang diserah kepada suami itu sendiri bayarannya. Suami berhak mendapat kepuasan sesuka hati dan pada bila-bila waktu sahaja. Alasan ini boleh ditolak dengan mudah, kerana kepuasan itu bukan hak suami semata-mata, tetapi hak bersama.

Jika tubuh badan isteri dianggap hak suami, maka tubuh badan suami juga boleh dianggap hak isteri. Sesetengah orang menyebutnya sebagai nafkah batin yang wajib disempurna oleh suami, sekalipun saya tidak setuju dengan istilah nafkah batin itu.


سُوۡرَةُ النِّسَاء

ٱلرِّجَالُ قَوَّٲمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٲلِهِمۡ‌ۚ فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌ۬ لِّلۡغَيۡبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ‌ۚ وَٱلَّـٰتِى تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهۡجُرُوهُنَّ فِى ٱلۡمَضَاجِعِ وَٱضۡرِبُوهُنَّ‌ۖ فَإِنۡ أَطَعۡنَڪُمۡ فَلَا تَبۡغُواْ عَلَيۡہِنَّ سَبِيلاً‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيًّ۬ا ڪَبِيرً۬ا 

Surah An-Nisa'


Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (34)

Ketiga: Suami dikira sebagai qawwam (pemimpin) dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap isteri, dengan itu isteri hendaklah menjaga kepentingan suaminya. Jika suami bertanggungjawab dengan memasak dan membasuh pakaian isteri, bermakna isteri sebagai pengawal suami. Ini bertentangan dengan maksud ayat 34 surah al-Nisa. Oleh itu jalan yang paling serasi dan bermuafakat dengan adat dan budaya Melayu ialah isteri bertanggungjawab dengan kerja-kerja rumah, manakala suami hanya membantu.

Mungkin ada suami yang bersedia melakukan kerja-kerja itu. Ada suami yang sangat berminat dengan kerja-kerja memasak, mengasuh anak dan menjahit pakaian sendiri, sementara isteri pula berminat dengan kerja-kerja di luar rumah seperti berniaga dan sebagainya. Amalan ini tidak salah dari segi hukum jika suami isteri rela dengan cara itu.

Keempat: Banyak riwayat menyatakan kehidupan harian para sahabat sebagai suami atau isteri, masing-masing memberi khidmat dan bantu-membantu antara satu sama lain. Sebagai contoh, Asma' binti Abu Bakar, isteri al-Zubayr Ibn al-Awwam, selalu membantu suaminya dengan memberi makan kuda, mengangkut air dari tempat yang berbatu-batu jauhnya. Tidak pula kedengaran Baginda Rasulullah melarang Asma' berbuat demikian dengan alasan semuanya itu adalah kewajipan suami.

Fatimah al-Zahra, isteri Ali Abu Talib dan puteri Nabi, juga melakukan sendiri kerja-kerja memasak dan membakar roti, menyediakan makanan dan mengisar tepung, sehingga menjadi pecah-pecah pada tangannya. Fatimah dan suaminya pernah mengadu kepada Nabi agar mengizinkannya mendapatkan pembantu rumah atau khadimah.

Tetapi Nabi menyuruh agar Fatimah terus melakukan sendiri kerja-kerja itu. Baginda tidak pula mengatakan, serah saja kepada Ali, kerana itu tanggungjawabnya sebagai suami.

Mungkin ada orang menjawab, sumbangan Fatimah yang membuat kerja-kerja rumah itu hanya sukarela, bukan sebagai kewajipan atau tugas. Saya katakan, kerja-kerja itu adalah kewajipan Fatimah bukannya sukarela, kerana Nabi tidak menerima cadangannya untuk mendapatkan pembantu rumah bagi menjalankan tugas-tugas itu.

Jawapan Rasulullah s.a.w. kepada puterinya Fatimah adalah suatu perakuan yang dengan sendirinya menurunkan hukum yang bakal dipakai umatnya, iaitu dalam menentukan tanggungjawab siapa sepatutnya melakukan kerja-kerja rumah, suami atau isteri. Dalam ilmu Mustalah Hadis, perakuan ini disebut taqrir (perakuan Nabi).

Saya berasa penting juga dinyatakan di sini bahawa tugas isteri pada hakikatnya ditentukan oleh adat resam dan budaya hidup sesuatu bangsa itu sendiri. Masyarakat Melayu telah mewarisi satu budaya yang agak kukuh, iaitu kerja-kerja berat yang biasanya menjadi kewajipan suami, manakala kerja-kerja ringan biasanya menjadi tanggungjawab isteri.

Ditakdirkan ada isteri merasakan adat dan budaya Melayu ini tidak perlu lagi dipertahankan, sudah tiba masanya lelaki dan wanita disamakan. Suami harus menyediakan sendiri makan minumnya, membasuh dan mencuci sendiri pakaiannya. Bagaimana pula jika dia kesuntukan masa untuk melakukan kerja-kerja itu, lalu menyerahkannya kepada pembantu rumah atau orang gaji? Tidakkah hati tersentuh melihat orang lain berada di samping suami kerana menyediakan makan minum dan mencuci pakaian dan menyentuh barang-barang yang akrab dengannya?

Adat resam dan budaya Melayu tidak pernah menerima cara itu. Janggal sekali jika orang yang tidak ada kena-mengena itu bebas melakukan apa sahaja yang disukainya.

Oleh DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR
(Akademi Pengajian Islam)



No comments:

Post a Comment